Followers

"LOVE MEMO"

"LOVE MEMO OF THE DAY"

New Entry : Isnin, Rabu & Jumaat. Sabtu ahad cuti...hehe..

Enjoy reading guys! ;D


Love,
Ara

Thursday, November 22, 2012

"Sayang Awak, Cinta Dia" - Bab 1

Bab 1
“Aulia Safira!!” Panggilan dingin itu membuatkan tubuh Aulia terus menggigil ketakutan. Hatinya berdebar-debar, dadanya berombak kencang. Keringat juga sudah mula menjalar ke seluruh wajahnya. Di bucu katil itu dia duduk memeluk lutut.

“Aulia!!” Sekali lagi terdengar suara garau itu memanggilnya. Dia diam seribu bahasa. “Hey Aulia!!” Aulia Safira masih diam membisu. Nafasnya ditahan agar aliran udaranya tidak dirasai. Airmata ketakutan sudah mula merembes keluar dari tubir mata. Seketika kemudian dia teringat akan pintu biliknya yang masih lagi belum berkunci, dengan pantas dia bergegas bangun. Namun langkah kakinya lewat bila pintu itu terlebih dahulu dihempas kuat dari arah bertentangan dengannya. Aulia Safira jatuh tersungkur.

“Ya Allah….” Bibirnya mula mengucap kata. Perutnya sakit terkena hentakkan tombol pintu yang kuat. Terasa senak hingga ke dada.

“Hey Aulia!!” Lelaki bengis yang sedari tadi menjerit memanggil namanya kini berada betul-betul di depan mata. Samar-samar dia melihat kelibat lelaki itu. Aulia cuba bangun untuk menjauhkan diri daripada lelaki itu, namun langkah kakinya terhalang, Aulia tidak mampu bangun mempertahankan dirinya. Kesakitan kesan daripada hentakkan pintu tadi benar-benar telah melumpuhkan tenaganya.

“Perempuan tak guna!!” Tak cukup dengan kesan hentakkan di perutnya tadi, rambut Aulia pula yang menjadi mangsa. “Kau tak dengar aku panggil kau tadi!? Kau pekak ke hah!?” Tengkingan itu kuat menerjah masuk ke pendengarannya. Nafasnya busuk berbau minuman keras. Lelaki ini memang selalu begitu. Mabuk dan tidak sedarkan diri! Aulia hanya mendiamkan diri, mungkin dia sudah lali dilayan sebegitu atau mungkin juga dia sudah kebal diperlakukan seperti sampah. Biarlah. Buatlah sesuka hati awak. Diam atau bersuara, kedua-duanya tiada beza.

“Hey Aulia!! Kenapa kau diam!? Kenapa kau tak lawan seperti selalu?? Kenapa!? Oh, sekarang kau dah pandai nak cabar aku pulak!? Hah! Jawablah… Jawab!” Kali ini pipi Aulia pula yang dijadikan sasaran. Berkali-kali pipi mulusnya itu ditampar. Aulia masih begitu, walau dahinya berkerut menahan sakit, walau pipinya merah menahan marah, dia tetap tidak mahu bersuara. Airmata yang masih lagi bergenang melalui pipinya dikesat perlahan. Wajahnya tunduk memandang lantai. Dia benci melihat wajah itu. Wajah manusia yang bertopengkan syaitan!

“Kau jangan nak buat perangai Aulia!! Pandang muka aku!! Pandang!!” Kepalanya terasa bagai hendak tercabut bila dagunya ditolak kasar oleh lelaki itu. Dalam hati gadis itu menangis hiba. Airmata yang sedari tadi mengalir kini sudah hilang alirannya. Tiada lagi serpihan airmata yang mampu untuk dizahirkan. “Kau ni memang dah lama hidup kan!!” Sekali lagi kedengaran suara lelaki itu mengherdiknya. “Apa kau dah benci sangat nak pandang muka suami kau ni!? Dah buruk sangat ke muka aku ni?? Kau geli nak pandang!?? Hah?? Cakaplah! Cakap!!” Lelaki itu bagai sudah hilang kewarasannya. Tubuh Aulia Safira ditolak, ditendang dan diperlakukan sesuka hati. Lelaki bengis itu terlalu kejam dengannya! Berkali-kali pipinya itu ditampar sehingga terlihat darah pekat mengalir dari bibirnya yang pecah.

Aulia Safira tidak mampu untuk melawan dan pada masa yang sama dia juga tidak mahu untuk melawan, dengan mata yang hampir tertutup dia gagahkan juga dirinya untuk memandang ke arah lelaki itu. Namun pandangannya samar, tiada apa yang dilihat melainkan hanya susuk tubuh seorang lelaki yang sedang mengherdik dan memarahinya. Dia juga tidak dapat menangkap butir patah perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu. Pandangannya kabur dan kelam. Dia nampak kepulan asap nipis dihadapnya. Matanya digosok berulang kali. Namun penglihatannya masih sama. Dan entah kenapa suara lelaki itu semakin lama semakin jauh dari pendengarannya. Kelibatnya juga makin hilang dari pandangannya. Matanya digosok lagi, dipejam rapat dan dibuka kembali. Kali ini dia ternampak sesuatu. Dia nampak cahaya, dia tidak pasti cahaya apa tetapi yang pasti kerlipannya sangat terang sehingga menyilaukan matanya.

Dia amati lagi cahaya itu… Cahaya itu melambai-lambai seakan memanggilnya. Semakin lama ianya semakin dekat dengannya. Dengan kudrat yang masih bersisa, dia cuba untuk menggapai cahaya itu. Dia mahu pergi ke situ, dia mahu cepat sampai ke sana, dia mahu pergi ke cahaya itu… Dia mahu…

“Aulia……”

“Pergi! Pergi!” Aulia Safira meronta-ronta bila terdengar ada suara asing memanggil namanya.

“Aulia... Sayang…”

“Pergi… Tolong lepaskan saya… Tolonglah jangan apa-apakan saya. Tolonglah…” Aulia merayu. Sayu hati Aimar tatkala terdengar rintihan isterinya itu. “Tolonglah…”

“Sayang… Bawak mengucap sayang… Abang ada ni… ” Aimar Alfian maju selangkah mendekati Aulia Safira. Niat hatinya hanyalah untuk mententeramkan isterinya. Habis semua bantal dan selimut di atas katil itu berselerakan jatuh ditolak oleh Aulia. Dia benar-benar berada di dalam ketakutan. “Sayang…” Panggil Aimar lagi.

“Jangan! Pergi…” Aulia menjerit mengusirnya.

Aimar Alfian tidak mengendahkan permintaan isterinya itu, dia nekad. Aulia Safira perlu ditenangkan, tanpa melengahkan masa dia terus menarik lembut tubuh kecil isterinya itu ke dalam pelukannya. Aulia Safira yang pada mulanya meronta-ronta minta dilepaskan akhirnya akur mengalah dan di dada lelaki itu dia menangis semahu-mahunya.

“Jangan apa-apakan saya… Saya takut.” Sesekali terdengar Aulia merayu perlahan supaya dirinya tidak diapa-apakan. Tubuhnya menggigil menahan ketakutan yang amat sangat.

Aimar Alfian semakin bersimpati keadaan keadaan Aulia Safira. Namun dalam masa yang sama dia mampu untuk mengurut dada. Selepas terlibat di dalam kemalangan jalan raya, sudah hampir seminggu isterinya itu berada di dalam keadaan koma dan tidak sedarkan diri. Dia mengucap syukur di dalam hati, airmata yang mengalir di pipinya dikesat perlahan. Dia bersyukur kerana isterinya masih lagi dapat diselamatkan walaupun mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala. Kesan dari kemalangan itu tangan dan kaki kanan Aulia Safira patah. Kaki kanannya terpaksa dibalut hingga ke bahagian peha, kesan-kesan calar, luka dan lebam-lebam juga masih jelas kelihatan di tubuhnya.

“Jangan apa-apakan saya…” Suara sayu itu kedengaran lagi.

Aimar Alfian mengeratkan lagi pelukannya.

“Sayang… Syhh… Jangan takut sayang. Abang ada dengan sayang ni.” Aimar Alfian masih setia memujuk isterinya. Entah perkara apa yang membuatkan isterinya ketakutan begini. Mungkin dia masih lagi trauma dengan kemalangan itu. Fikir Aimar cuba untuk membuang jauh perasaan gusarnya. Tangannya mengusap lembut rambut dan belakang badan isterinya penuh kasih. Dia cuba untuk menenangkan Aulia yang masih lagi menangis.

Untuk seketika dia membiarkan Aulia Safira sendiri melayan perasaannya. Sementara dia pula sedang menahan rasa mengenai sesuatu perkara. Perkara itu menjerut hatinya hingga kini. Dia risau dengan penerimaan Aulia nanti. Bagaimana keadaan isterinya nanti bila menerima berita tentang kehilangan puterinya. Damia Sofeya, puteri sulong mereka tidak dapat diselamatkan. Damia bayi yang baru saja mengenali dunia meninggal di tempat kemalangan serta merta kerana tersepit di bahagian bawah kereta yang dipandu oleh pemilik teksi itu. Pemandu teksi itu juga tidak dapat diselamatkan. Dia juga meninggal dunia di tempat kejadian. Kes kemalangan ini masih lagi di bawah siasatan polis. Mengikut berita yang dia terima, pemandu lori itu gagal mengawal lori kerana berada di dalam keadaan mengantuk.

“Assalammualaikum… Aimar… Aulia dah sedar?” Suara dari pintu mematikan lamunan Aimar. Dia berpaling mencari si empunya suara yang memanggil.

“Mama…” Sapa Aimar. Jelas kelihatan raut wajahnya yang mendung dah alis matanya yang berkaca memandang ke arah Puan Salmah, Ibu mertuanya. Aimar cuba bangun untuk menyambut kedatangan wanita itu namun pelukkan Aulia terlalu kuat, Puan Salmah faham akan keadaan itu lantas mendekatkan dirinya untuk bersalaman dengan menantunya yang sudah tidak terurus benar keadaannya itu.

“Aulia sayang…” Tegur Puan Salmah lembut. Mahu saja dia terus memeluk anak perempuannya itu, namun keadaan persekitaran membataskan hasrat hatinya. Aulia Safiya tidak sedikit pun mengerakkan badannya apatah lagi membuka matanya. Tangisannya masih bersisa.

“Sayang… Mama datang ni…” Pujuk Aimar lembut. Mereka diam menanti reaksi yang bakal ditunjukkan Aulia. Selepas seketika, Aulia meleraikan pelukkan Aimar perlahan dan memberanikan diri memandang ke arahnya. Mata mereka bertentang, tetapi hanya bertahan untuk seketika.

“Awak siapa?” Soalan Aulia membuatkan Aimar dan Puan Salmah terkejut.

“Sayang, ni Abang. Suami sayang…” Terang Aimar lembut cuba meyakinkan isterinya. Wajah isterinya kelihatan sangat keliru dengan apa yang dilihatnya sekarang. Aulia menjarakkan kedudukkan mereka. Aimar dan Puan Salmah dipandangnya berulang kali.

“Siapa Abang? Siapa suami saya? Suami saya bukan awak… Pergi! Pergi!”

“… Aulia, itukan Aimar suami kamu.” Tokok Puan Salmah, Aulia memandangnya tajam.

“Tidak! Dia bukan suami Lia, Mama… Mana suami Lia??” Bersungguh-sungguh Aulia Safira menafikan kehadiran Aimar sebagai suaminya. Dadanya berkocak pantas.

“Sayang…” Panggil Aimar lagi. Lengan Aulia diusap perlahan. Hatinya berdebar-debar melihat tingkah Aulia yang menolaknya secara tiba-tiba.

“Saya bukan sayang awak! Jangan pegang saya! Lepaskann!” Aulia tepis pegangan Aimar kuat. “Mama… Mana Fendy? Mana suami Lia… Mana Fendy, Mama?? Lia mahu dia, Lia mahu suami Lia!” Aulia menjerit memanggil ‘Fendy’. Nama lelaki itu memang tidak asing langsung di pendengaran Aimar dan Puan Salmah. Tetapi yang menjadi persoalannya, kenapa nama lelaki itu yang Aulia sebut-sebut? kenapa nama lelaki itu yang Aulia panggil? kenapa Fendy? Kenapa bukan Aimar?

“Sayang… Jangan macam…

“Don’t touch me!” Belum sempat Aimar menghabiskan ayatnya, Aulia Safira terlebih dahulu membidas. “Iskk!” Dia mengadu sakit bila wayar-wayar yang berselirat di seluruh tubuhnya mula menegang dek pergerakkannya yang terlalu keras. Pandangannya tajam merenung Aimar, lelaki yang dirasakan terlalu asing untuknya.

“Aulia……” Puan Salmah masih lagi ingin memujuk.

“Diam!” Aulia mula menjerit nyaring. “Diam! Diam!!” Habis semua barang-barang yang ada di atas meja dan katilnya dicampak dan ditolak ke bawah. “Pergi! Pergi dari sini!!”

“Sayang… Jangan macam ni. Sayang masih belum sihat lagi. Bawa mengucap sayang…” Pujuk Aimar sambil memberi isyarat mata kepada Puan Salmah untuk keluar mendapatkan bantuan. Puan Salmah akur dengan isyarat itu seraya mula mengatur langkah. Aimar Alfian masih cuba mendekati isterinya.

“Jangan dekat dengan saya! Pergi!” Aimar seperti tadi tidak mengendahkan permintaan isterinya. Isterinya perlu ditenangkan. Dengan pantas dia memeluk tubuh Aulia Safira. Wanita itu meronta-ronta minta dilepaskan. Makin kuat rontaan Aulia, makin kuat pelukkan Aimar. Beberapa minit kemudian Puan Salmah tiba dengan doktor dan jururawat yang mengiringinya. Mereka bergegas mendapatkan Aulia Safira.

“Nurse!” Panggil doktor itu. Bagai sudah terbiasa dengan panggilan itu, kedua-dua jururawat itu mula menjalankan tugas. Pantas tubuh Aulia direntap dari pelukkan Aimar.

“Encik, beri ruang.” Kata salah seorang dari jururawat tersebut. Aimar menundukkan sedikit kepalanya tanda faham. Tubuh isterinya dilepaskan. Aulia Safira masih seperti tadi, meronta-ronta bagai orang yang hilang kewarasannya. Kedua-dua jururawat itu mula memainkan peranan. Aulia Safira dibaringkan secara paksa.

“Lepaskan saya! Lepaskan!!”

“Tolong jangan kasar dengan isteri saya…” Tegur Aimar perlahan tidak sanggup untuk melihat tubuh isterinya dikasari. Namun tegurannya itu bagai angin yang berlalu. Keadaan Aulia yang tidak terkawal memaksa mereka untuk melakukan hal itu. Aimar mengeluh perlahan sambil memandang doktor yang sememangnya sudah bersedia untuk menyuntik ubat penenang ke dalam tubuh Aulia. Dia pandang Puan Salmah yang sedang teresak-esak menangis. Mungkin wanita itu juga berperasaan sepertinya. Cuma yang membezakan mereka ialah dia seorang lelaki yang masih lagi mampu untuk menahan perasaan sedih yang sedang membelenggu dirinya.

Selepas seketika keadaan kembali tenang. Ubat yang disuntik sudah mula menunjukkan kesan. Tiada lagi kedengaran suara Aulia menjerit-jerit. Aimar memberanikan diri untuk mendekati isterinya. Hatinya bagai dihiris-hiris bila melihat keadaan Aulia ketika ini. Aulia yang lemah, Aulia yang tidak berdaya, Aulia yang keliru! Dahi dan ubun-ubun Aulia dikucup berkali-kali. Airmata lelakinya juga tumpah mengenai wajah isterinya. Bertahan sayang… Jangan tinggalkan Abang. Bisik hati kecilnya. Jemari Aulia digenggam erat.

“Encik Aimar, kita perlu berbincang mengenai keadaan isteri encik.”

“Kenapa dengan isteri saya, Doktor?” Soal Aimar, airmatanya dikesat perlahan. Tidak dihiraukan apa pandangan orang lain terhadapnya ketika ini.

“… Anak saya keliru dengan keadaan dirinya, Doktor. Suaminya sendiri pun dia tidak kenal.” Puan Salmah menambah menyuarakan kerisauannya.

“Erm… Kita bincang di bilik saya dulu. Biarkan dia berehat.” Ajak doktor itu cuba untuk menenangkan keadaan. Aimar dan Puan Salmah hanya menurut. Mungkin itu yang terbaik, lagipun mereka perlu tahu keadaan Aulia yang sebenarnya. Kenapa dia bertindak agresif secara tiba-tiba? Dan kenapa dia seakan tidak pasti dengan keadaan dirinya sendiri?

Sebelum beredar, sempat juga Aimar mengucup dahi dan kedua-dua belah pipi isterinya penuh kasih. Kalau boleh, dia tidak mahu sesaat pun berjauhan dengan isterinya. Terlalu banyak kemungkinan yang sedang membuai di benaknya kini…


+++++++++++++++++++

BERSAMBUNG :D

4 comments:

Unknown said...

Waaaaa!! Nak lagiiii!! :)

capital ' Q ' said...

ermmm..good job sayang..saya suke permulaan cerita die..teruskan

Unknown said...

tu lh sedeh nyer...but still tk paham kedudukkan sape fendi?n sape lak yg dera aulia?tk kn aimar kot,bab aimar baik sngt...nk g dekk

Anonymous said...

Assalamualaikum...bab pertama yg begitu suspen! intro sebegini yg membuatkan reader nak th bab seterusnya. Suddenly ada lak Fendy yg misteri.. hmmm..interesting..

Insya Allah akan diikuti bab seterusnya mengikut kelapangan masa.. huhu

Goods job dik.. :)